top of page
Konsep Rekabentuk
Surau baharu yang dicadangkan direkabentuk dengan ruang solat utama terletak di aras atas. Di aras ini, selain ruang solat, hanya ruang wuduk sahaja tanpa tandas disediakan. Ruang solat utama yang terletak di bahagian tengah bangunan adalah berhawa dingin (16m x 16m, 300 jemaah), dengan ruang solat jemaah Muslimin dan Muslimat diasingkan menggunakan pintu kaca gelongsor.
Selain penghawa dingin yang akan digunakan pada masa-masa tertentu sahaja, ruang solat utama akan dilengkapkan dengan kipas siling besar yang lebih menjimatkan penggunaan tenaga dan dapat memberi hembusan angin yang lebih sekata. Surau baru ini tidak akan dipasang chandelier.
Ruang solat Muslimat akan dilengkapkan dengan bilik kecil yang boleh dikunci untuk membolehkan jemaah menukar pakaian dengan selesa, disamping boleh juga digunakan untuk menempatkan barangan berharga tanpa perlu risau akan berlaku kecurian semasa bersolat. Di aras atas juga ada disediakan ruang untuk imam atau penceramah berehat. Kecuali di bahagian hadapan dan ruang wuduk, keseluruhan dinding adalah daripada bahan kaca cerah. Dinding kaca diruang solat Muslimat akan dilengkapkan dengan pelapik plastik gelap, kaca jenis frosted atau tirai.
Ruang terbuka pula boleh menempatkan sekurang-kurangnya 300 jemaah, disamping boleh juga digunakan sebagai ruang rehat atau ruang jamuan.
Dato' Ismail Alias menandatangani kain rentang semasa pelancaran Wakaf Pembinaan Surau Baru Al-Umm pada 7 Mac 2015, diperhatikan oleh Pengerusi Surau Al-Umm.
Aras bawah adalah ruang serbaguna yang boleh dijadikan dewan makan (200 tempat duduk berhawa dingin dan 150 tempat duduk terbuka) atau dewan seminar berhawa dingin (300 peserta), juga dewan kuliah dan bilik mesyuarat. Caj sewaan dewan ini akan dapat menampung sebahagian dari kos operasi Surau. Aras ini tidak akan digunakan untuk solat, melainkan jika Surau Al-Umm dinaik taraf kepada Surau Jumaat pada satu hari nanti. Di aras ini, ruang wuduk, ruang mandi dan tandas akan disediakan secukupnya. Sama seperti di aras atas, sebahagian besar dinding akan menggunakan kaca cerah. Surau baru ini tidak akan menyediakan kemudahan dapur, tempat mandi jenazah, atau rumah imam.
Dengan kedudukan tapak yang sedikit bercerun, kedua-dua tingkat boleh diakses dengan mudah tanpa perlu menaiki tangga. Selain tangga, tanjakan (ramp) dari bahagian hadapan surau (dari Persiaran Teratai 7) untuk ke ruang solat utama di aras atas ada disediakan untuk kegunaan OKU dan orang yang berkerusi roda. Laluan masuk terus ke dewan serbaguna akan disediakan di belakang surau melalui Jalan Teratai.
Bahagian luar bangunan lebih menumpukan kepada ciri-ciri binaan Melayu terutamanya dibahagian bumbung. Bumbung Terengganu dengan kayu/bunga buton tanpa tebar layar yang besar telah dipilih bersesuaian dengan populasi kawasan sekitar yang 100% berbangsa Melayu. Walaubagaimanapun, susur tangan akan dibuat dari besi tahan karat dan bukannya kayu untuk memudahkan penyelenggaraan dimasa hadapan.
Satu menara azan juga disediakan di atas tempat wuduk Muslimat, yang juga akan menempatkan tangki air.
Luas lantai kasar ialah 14,450 kaki persegi, dan kos pembinaan dijangka menjangkau RM 1,750,000.00. Untuk merealisasikan impian mendirikan surau baru ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan wakaf dari tuan/puan agar pembinaan dapat dimulakan dan disiapkan dengan kadar yang segera.
Konsep bangunan baharu Surau Al-Umm ini dengan ruang solat di aras atas, dan dewan serbaguna di aras bawah telah dipraktikkan di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi dan Surau An-Nur di Sunway Kayangan, Shah Alam.
Petikan Ayat Suci ......
Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti menanam sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya. Dan Allah Maha Luas Rahmat dan Limpah KurniaNya lagi Maha Mengetahui.
Surah Al-Baqarah, ayat 261.
bottom of page