top of page
Pembinaan Surau Baru
Surau Al-Umm telah beberapa kali melalui proses pembesaran untuk menampung jumlah ahli kariah yang semakin bertambah. Berikutan tiada lagi ruang untuk pembesaran, dan dengan keluasan tapak cuma 10,000 kaki persegi, jalan yang ada hanyalah dengan merobohkan bangunan sedia ada dan digantikan dengan bangunan baharu. Perancangan untuk membina surau baharu telah bermula sejak tahun 2011, apabila Surau Al-Umm berjaya mengambil alih tanah bersebelahan tapak sedia ada setelah seorang ahli kariah suami isteri yang dermawan bermurah hati untuk melunaskan kos pembelian tanah tersebut yang bernilai RM 380,000.00.
Lokasi Surau Al-Umm (lot 38722 ialah tapak asal, sementara lot 38721 ialah tapak diperolehi pada tahun 2011. Dua geran ini sudah disatukan.
Dengan perolehan tanah tersebut, keluasan tapak Surau Al-Umm sekarang menjadi 20,000 kaki persegi, sekali ganda lebih luas dari tapak asal. AJK Surau berpendapat bahawa pembangunan surau baharu ini perlulah dibuat sebaik mungkin, dengan mengambil kira keperluan dimasa hadapan dan kemungkinan surau akan dinaik taraf kepada surau jumaat satu hari nanti.
AJK juga berpendapat sebuah dewan serbaguna perlu disediakan, agar dapat disewakan kepada ahli kariah untuk majlis perkahwinan atau digunakan oleh surau sendiri untuk majlis lain yang bermanfaat, untuk menambah pendapatan yang amat diperlukan untuk operasi surau.
Beberapa siri kaji selidik untuk mendapatkan bentuk kemudahan dan rekabentuk yang diingini telah dibuat sehinggalah rekabentuk terakhir telah dimuktamadkan, dan hanya memerlukan beberapa proses sahaja lagi untuk membolehkan bangunan surau baharu didirikan.
Beberapa siri penerangan kepada ahli kariah juga telah dilaksanakan, agar konsep dan keperluan pembangunan surau baharu nanti dapat difahami dan diterima oleh majoriti ahli kariah dan semua waris pewakaf asal, Allahyarham Tn Hj Jantan.
Untuk mendapatkan dana bagi pembinaan surau baru, AJK telah mendapat kelulusan untuk membuka akaun Saham Wakaf Selangor dengan Perbadanan Wakaf Selangor, dimana pewakaf boleh mendapatkan pelepasan cukai kepada sebahagian dari jumlah yang diwakafkan. Untuk tujuan pelepasan cukai, pewakaf perlu mengisi borang wakaf dan resit rasmi MAIS akan dikeluarkan.
Kepada pewakaf yang tidak mahu namanya diketahui pihak lain, bolehlah mendepositkan sumbangan terus ke akaun Surau Al-Umm Maybank nombor 5622 6301 5938, atau boleh juga menghubungi Bendahari atau mana-mana AJK untuk menyerahkan sumbangan wakaf. Surau juga ada memberikan sijil kenang-kenangaan untuk setiap RM100 yang diwakafkan.
Contoh Sijil Wakaf untuk setiap RM100.00.
Salinan surat kelulusan Saham Wakaf Selangor.
Sabda Rasulullah S.A.W.
“Barang siapa yang membangunkan rumah Allah di dunia semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, maka Allah akan membangunkan baginya rumah untuknya di syurga”
Hadis riwayat Muslim dan Bukhari
Contoh resit rasmi MAIS untuk pelepasan cukai.
bottom of page